To think creatively, we must be able to look afresh at what we normally take for granted. – George Kneller

Khamis, Disember 27, 2012

INDUSTRI PENYELESAIAN E-PEMBAYARAN BERKEMBANG PESAT


GHL Systems Berhad (GHL), pembekal perkhidmatan pembayaran utama di rantau ASEAN, yakin bahawa industri penyelesaian e-pembayaran di seluruh ASEAN akan mencatatkan angka pertumbuhan lebih tinggi daripada purata dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang hasil kemajuan teknologi. 

Menurut Raj Lorenz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, teknologi telah memacu evolusi pembayaran elektronik yang lebih pantas dan selamat. 

"Kita sudah melangkah jauh sejak zaman di mana kita menggunakan mesin leretan kad kredit manual untuk menghasilkan slip kad kredit dengan salinan karbon.  Hari ini, maklumat kad kredit dihantar secara elektronik kepada bank pengeluar kad dalam masa beberapa saat untuk kelulusan. Di samping itu, data juga dienkripsi sebelum dipindahkan untuk menjamin keselamatan data. Kemajuan ini telah meningkatkan keyakinan pengguna dan menggalakkan penggunaan pembayaran elektronik secara meluas,” jelas Raj.

Malah, menurutnya lagi, dari perspektif pengguna, telefon pintar mewujudkan peluang mudah urus niaga. Di negara seperti Jepun dan Korea, pengguna sudah giat menggunakan telefon pintar untuk melakukan aktiviti tersebut selama lebih 10 tahun. Memandangkan negara ASEAN sedang membina infrastruktur rangkaian dan penembusan telefon pintar pula semakin meningkat, aktiviti sedemikian akan turut menjadi kelaziman di ASEAN.

“Penyedia perkhidmatan pembayaran (PSP) sudah tentu akan memanfaatkan peralihan kepada perkomputeran berasaskan awan atau pelayan. Secara ringkasnya, perkomputeran awan membolehkan aspek rumit dalam urus niaga pemprosesan pembayaran dilakukan pada pelayan belakang dan bukannya terminal hadapan EDC (rakaman data elektronik). Ini bermakna dengan menggunakan perkomputeran awan, mesin EDC akan menggunakan cip pemprosesan dan memori yang lebih rendah, lantas mengurangkan kos EDC.” 

Raj juga mendapati pentingnya masyarakat Malaysia menyedari pentingnya e-pembayaran. “Malaysia perlu melanjutkan infrastruktur pembayaran ke tahap yang membolehkan orang biasa mempunyai pilihan mudah untuk membayar secara elektronik. Ini bermakna jauh lebih banyak titik penerimaan elektronik akan disediakan. Lebih penting lagi, ini bermakna penerimaan kaedah pembayaran yang bukan sahaja terhad kepada mereka yang memenuhi syarat ketat kad kredit, tetapi juga dilanjutkan kepada orang ramai.”

Menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2011, Bank Negara Malaysia telah menetapkan sasaran 200 urus niaga e-pembayaran per kapita, 30 urus niaga kad debit per kapita, dan 25 terminal di tempat jualan bagi setiap 1,000 penghuni menjelang 2020.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan