Apabila wawasan 2020 diperkenalkan kepada rakyat Malaysia ketika pembentangan Rancangan Malaysia ke-6 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Malaysia ketika itu, meletakkan sembilan matlamat utama yang ingin dicapai. Secara ringkasnya, matlamat-matlamat tersebut bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Ketika itu, ramai yang skeptikal.
Pada tahun 2010, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Program Transformasi Nasional yang mana di dalamnya termaktub Model Ekonomi Baru (MEB). MEB menggariskan tiga objektif utama iaitu menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang mempunyai
keterangkuman (inclusiveness) dan kemampanan (sustainability) menjelang tahun
2020. Strategi yang digunakan bermula dari Program Transformasi Kerajaan (GTP) diikuti Program Transformasi Ekonomi (ETP). ETP menumpukan perhatian pada 12 sektor penting di dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu:
- minyak, gas dan tenaga
- minyak sawit dan produk berkaitan
- perkhidmatan kewangan
- perlancongan
- perkhidmatan perniagaan
- elektrik dan elektronik
- pemborong dan peruncitan
- pendidikan
- penjagaan kesihatan
- kandungan komunikasi dan infrastruktur
- pertanian
- Greater Kuala Lumpur /Klang Valley.
Malah, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dari 12 NKEA ini bakal
menghasilkan 131 Projek Permulaan (EPP), 60 peluang perniagaan, 3.3 juta
peluang pekerjaan dan bakal menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) bernilai
AS$523 bilion. Namun, walaupun selepas dua tahun ETP dilaksanakan dan beberapa hasil sudah boleh dilihat, ramai lagi yang skeptikal.
Sebagai usahawan, kita harus bersangka baik akan misi dan visi Kerajaan. Kerajaan juga adalah satu entiti keusahawanan (seperti individu usahawan) yang harus menjana keuntungan ke atas entiti negara yang dipertanggungjawabkan (sama seperti usahawan yang bertanggungjawab terhadap syarikat). Adakah kita mahu negara kita menjadi seperti Greece yang mempunyai hutang negara sebanyak AS$413.6 billion dek kerana Kerajaan mengambil lewa hal ekonomi negara? Kelemahan Greece yang kini dipaparkan oleh media massa sebagai "years of unrestrained spending, cheap lending and failure to implement
financial reforms left Greece badly exposed when the global economic
downturn struck" adalah refleksi Kerajaan yang lewa.
Mereka yang skeptikal terhadap Transformasi Nasional sebenarnya tidak dikejutkan oleh hakikat Malaysia kini semakin ketinggalan dalam pecutan ekonomi Asia Tenggara. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka di mana eksport import memainkan peranan penting dalam penjanaan ekonomi negara. Korea yang dulu dibelakang, kini sudah dihadapan Malaysia. Begitu juga, ekonomi Thailand dan Indonesia yang semakin kehadapan.
Memberitahu dunia akan program-program Transformasi Nasional akan menggalakkan pelabur-pelabur asing melabur dalam negara. Cuba bayangkan, alangkah bagusnya apabila negara berjaya
menghasilkan 131 Projek Permulaan (EPP), 60 peluang perniagaan, 3.3 juta
peluang pekerjaan dan menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) bernilai
AS$523 bilion pada tahun 2020 kelak, syarikat kita juga pasti menerima tempiasnya.
Sifat skeptikal perlu ada pada diri usahawan kerana kita perlu kiracampur risiko yang wujud. Namun, skeptikal tanpa melihat matlamat, strategi dan langsung menidakkan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan adalah pemikiran sempit usahawan yang hanya mahu duduk ditakuk lama. Kita bukan usahawan sebegitu. Kita mahu syarikat dan perniagaan kita terus menerus maju di dalam negara yang makmur.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan